Header logo

Isi masa anda apabila berjarak sosial di rumah

Pandemik COVID-19 telah memberikan kesan yang diluar jangkaan kepada kehidupan kita. Dengan lebih banyak negara mengambil langkah-langkah penjarakan sosial yang ketat bagi menghalang jangkitan merebak dan penghasilan vaksin mengambil masa yang lebih lama, kita terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan normal yang baru.

Mengekalkan jarak sosial dengan tinggal di rumah pada sepanjang masa adalah amat sukar tetapi merupakan pendekatan yang perlu. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa pekara yang boleh dilakukan untuk membuat diri anda sibuk dan berhibur semasa tinggal di rumah.

1. Membaca buku Membaca adalah perkara yang terakhir timbul di fikiran kebanyakan orang apabila memikirkan aktiviti masa lapang. Perkembangan teknologi hari ini telah memberikan pelbagai bentuk hiburan dan membuatkan kita lupa akan keseronokan dan kepentingan membaca. Satu rencana oleh Inc. menjelaskan beberapa sebab menarik mengapa membaca perlu menjadi keutamaan.

Anda boleh mula dengan memilih subjek yang anda benar-benar minati. Jika anda berasa sukar untuk memilih jenis buku yang anda gemar baca, cuba membaca semula buku-buku kegemaran anda untuk menjana semula minat anda atau rujuk senarai buku-buku yang paling hangat untuk mendapatkan inspirasi.

2. Main permainan video

Jika anda bosan dan mencari cara lain untuk menghiburkan diri, cubalah permainan video. Kini, permainan video tersedia di setiap platform dan dengan pelbagai jenis permainan video yang boleh dipilih, tidak sukar untuk anda mencari permainan video yang sempurna untuk anda nikmati.

Jika anda khuatir akan kesan negatif permanian video, tak perlu risau. Terdapat kajian-kajian saintifik yang menjelaskan faedah permainan video, termasuklah koordinasi, kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran sosial yang lebih baik. 

Sama seperti memilih buku, memilih permainan video bergantung kepada minat peribadi. Dengan pelbagai jenis permainan yang boleh dipilih, perkara paling utama untuk memilih adalah bagaimana anda akan berseronok bermain permainan tersebut. Jika anda tidak pasti, baca ulasan daripada laman-laman yang boleh dipercayai untuk membuat pilihan.

3. Kekal cergas dengan bersenam di rumah

Terdapat pelbagai cara untuk kekal cergas dan sihat tanpa mengunjungi gim atau menggunakan sebarang peralatan. Latihan beban tubuh adalah salah satu contoh terbaik untuk kekal cergas di rumah: ianya percuma, tidak memerlukan sebarang peralatan dan boleh dilakukan dalam ruang yang kecil.

Senaman asas tekan tubi (push up), cangkung (squat) dan bangkit tubi (sit up) mungkin kelihatan mudah tetapi ia memberikan pelbagai faedah kerana ia boleh meningkatkan kekuatan, kuasa, ketahanan, kelajuan, kelenturan, koordinasi dan imbangan. Pelbagai sumber juga boleh ditemui atas talian di mana anda boleh mempelajari kaedah lain senaman tersebut atau teknik baru untuk mencabar diri anda dan terus meningkatkan tahap kecergasan anda dalam tempoh kuarantin.

4. Kemas kediaman anda

Jika anda antara mereka yang bekerja keras dan tidak mempunyai masa untuk mengemas kediaman, ini adalah peluang anda untuk mengemas selerak dan menceriakan rumah anda. Terdapat banyak rencana yang menjelaskan bahawa rumah yang berselerak juga boleh memberi kesan kepada kesihatan mental seseorang. Oleh kerana tempoh kuarantin berkemungkinan dipanjangkan lagi, anda boleh elakkan kediaman anda menjadi punca kerunsingan.

Ambil masa untuk memilih barangan yang penting dan perlu disimpan di sekitar kediaman anda, dan pertimbangkan menderma barangan yang tidak diperlukan lagi. Anda juga boleh menggunakan masa ini untuk mengemas dan mengosongkan  ruang simpanan komputer dan peranti pintar anda dengan melihat album gambar dan memadamkan sebarang swafoto yang tidak menarik atau gambar-gambar salinan; atau memadam aplikasi yang jarang atau tidak digunakan.

5. Belajar kemahiran baru

Tempoh kuarantin ini juga memberikan peluang kepada anda untuk mengasah minat sepanjang hayat anda dan belajar kemahiran baru. Anda boleh belajar memasak makanan kegemaran anda, teroka bakat seni anda dengan belajar melukis, tingkatkan kemahiran fotografi anda atau belajar bahasa baru. Selain itu, anda juga boleh melibatkan ahli keluarga anda dan meluangkan masa bersama mereka.

6. Kekal berhubung dengan keluarga dan sahabat handai.

Kekal berhubung dengan ahli keluarga dan sahabat handai adalah amat penting, terutama dalam masa yang mencabar ini. Komunikasi adalah perkara utama untuk kita kekal rapat dan bersama. Kerap berhubung dengan saudara mara atau sahabat handai untuk terus mengetahui perkembangan semasa mereka. Dan jika anda mengetahui mana-mana ahli keluarga atau sahabat yang akan menyambut saat yang istimewa, buat kejutan untuk mereka dengan menganjurkan sambutan maya.